Zikrullah

Saturday, March 12, 2011

Perbezaan Antara Percaya Dengan Yakin



Bismillahirrahmanirrahim… Assalamualaikum w.b.t...
Suatu hari, di suatu tempat yang jauh dari negara kita ini, berlangsunglah satu pertunjukan kemahiran. Tetapi pertunjukan ini amat luar biasa dan menakjubkan sekali. Seorang penembak akan menunjukkan kemahirannya menembak sebiji epal di atas kepala sebuah patung. Selepas membedek beberapa ketika, dia menarik picu pistolnya dan tembakannya tepat mengenai epal tersebut.

Kemudian dia bertanya, “Apakah tuan-tuan percaya saya seorang penembak yang cekap?”

Semua orang menjawab, “Ya, kami percaya.”

Kemudian dia menutup matanya dengan kain hitam. Untuk memastikan dia benar-benar tidak boleh melihat, kapas di letakkan di atas kelopak matanya terlebih dahulu sebelum di ikat dengan kain hitam tersebut. Seperti tadi, sebiji epal diletakkan di atas kepala sebuah patung. Kemudian dia membedek lalu menarik picu pistolnya. Tepat mengenai sasarannya!

Semua yang hadir bertepuk tangan dan memuji-muji kehebatan penembak ini. Dalam pada itu si penembak tadi pun bertanya, “Apakah tuan-tuan percaya saya seorang penembak yang cekap?”

Semua orang menjawab, “Ya, kami percaya.” Sudah ada yang melontarkan duit ke dalam topi yang memang telah disediakan.

“Baik, sekarang tuan-tuan semakin percaya dengan kebolehan saya, mahukah tuan-tuan jika saya tunjukkan lagi kehebatan saya untuk menambah kepercayaan tuan-tuan?”

Semua orang menjawab, “Mahu!”

“Jika begitu, saya akan meletakkan sebiji epal di atas kepala tuan-tuan. Saya akan menembak epal berkenaan tanpa mencederakan tuan-tuan. Saya jamin tuan-tuan tidak akan cedera. Siapakah yang sudi membantu saya menjayakan pertunjukan ini?”

Senyap. Tiada sesiapa menjawab.

“Tuan-tuan telah melihat kepakaran saya. Saya telah membuktikan kepada tuan-tuan saya boleh menembak dengan tepat walaupun dengan mata yang tertutup. Tuan-tuan juga telah mengatakan tuan-tuan percaya dengan kehebatan saya. Ada sesiapa yang sudi?” tanya penembak itu lagi.

Para penonton tersengih-sengih, tiada seorang pun yang berani tampil ke depan. Akhirnya pertunjukan itu dibatalkan dan tidak pernah sampai ke penyudah.

Mengapakah tiada seorang pun yang berani tampil ke hadapan, padahal mereka telah melihat sendiri kehebatan penembak berkenaan melakukan kerjanya? Jawapannya mereka percaya tetapi tidak yakin.

Kesimpulanya
kita percaya bahawa Allah itu wujud,kita percaya bahawa wujudnya syurga dan neraka, tetapi sejauh manakah kita yakin akan semua ini. Allah S.W.T dah beri akal yg sempurna untuk memikirkan hukum hakam Allah. Tetapi masih ramai lagi manusia sering abaikan solat... mengumpat... maksiat... tapi pada masa yang sama mengaku percaya ALLAH MAHA MELIHAT. Mungkin mereka hanya percaya tetapi tidak yakin ataupun masih tak sampai kepada tahap yg mampu dizahirkan dalam bentuk tindakan. Sebenarnya untuk sampai ke tahap yakin ini seseorang itu haruslah memerlukan iman dan taqwa yang tinggi kepada Allah SWT.

Wallahu'Alam...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...