Zikrullah

Sunday, August 7, 2011

Aku Bukan Srikandi Solehah


Bismillahirrahmanirrahim… Assalamualaikum w.b.t...



Berkali kali ku cuba mencoretkan sesuatu pada 'bidadari' kesayanganku ini. Dan tika itu juga diriku kematian kata kata di pertengahan jalan. Ah, siapalah diriku untuk mengeluh. Benarlah kata kata seorang sahabat bahawa kekuatan untuk menulis itu datang bersama kekuatan iman. Di akui kini rasa kelemahan iman membina pada diri setelah mendapat 'kejutan' daripada ALLAH SWT. Aku tidak mahu menjadi manusia yang tidak redha dengan ketentuanNYA. Namun aku juga insan biasa. Jiwa ini juga kadang kadang bertanya, mengapa aku? Biar apapun penilaiannya, biarlah semuanya kerana ALLAH. Aku ini bukanlah manusia kalis dosa. Yang daku harapkan secebis belas dariNYA untuk menerima taubat dan perjuanganku demi menebus kesilapan silam.
Alhamdulillah, ALLAH SWT sentiasa memberi yang terbaik buat hamba hambaNYA termasuk jugalah diriku yang kerdil di sisiNYA. Yang ku harapkan cuma diriku ini menjadi solehah di sisiNYA. Aku tidak ingin sekali menjadi solehah di mata manusia. Bagiku, manusia itu tidak punya hak untuk menilai kerana kita ini hamba yang lemah. Segala kekurangan dan kelebihan kita sendiri sudah membuktikan bahawa kita ini hak milik Pencipta yang agung.
Seringkali kita terasa obses untuk memiliki sesuatu sehingga kita lupa bahawa kita kita bukanlah pemilik sebenarnya. Tahukah kalian bahawa kita ini hanya berstatus seorang 'PEMINJAM'? Sedangkan ALLAH SWT itu adalah pemilik hakiki. Dan biarlah DIA sahaja yang menentukan pemiliknya. Setiap jasad, kata kata, ilmu yang kita miliki sebenarnya bukan kepunyaan kita. Segalanya hanya pinjaman dan pada bila bila masa sahaja, jika DIA mengkehendakinya, kita bisa kehilangan segalanya. Betapa daku merasakan ALLAH telah menarik nikmat semangat perjuangan dan kemanisan mencari redhaNYA dari diriku. Apa yang aku takuti bahawa diriku ini tidak berasa ikhlas untuk berada dalam landasan perjuangan kerana aku gusar pada penilaian manusia yang hina.
Teringat pesanan seorang sahabat,
nilailah tahap keikhlasanmu, sejauh mana dirimu benar benar menginfakkan diri dijalanNYA. Sesungguhnya keikhlasan itu ada tiga tahap:
Yang pertama, tatkalau kau melakukan sesuatu kerana takut akan neraka ALLAH.
Yang kedua, tatkala kau melakukan sesuatu kerana syurgaNYA
Yang ketiga, tatkala kau melakukan sesuatu semata mata keranaNYA. Dirimu ini tidak mengira apa sahaja balasan dariNYA kerana dirimu meyakini bahawa apabila kita mencintai, kita sedia menerima balasan apa sahaja dari sang KEKASIH AGUNG.
Pesanan ini cukup untuk membuatkanku untuk bermuhasabah diri. Diriku ini takat yang macam mana. Yang paling ku khuatiri adalah diri ku ini tidak mampu mencapai mana mana tahap keikhlasan kerana aku berbuatkan sesuatu untuk mendamba perhatian manusia hina. Betapa banyak kata kata yang ku hamburkan pada 'muka buku' atau teratak kesayanganku ini semata mata kerana ALLAH atau kerana manusia?. Malah yang lebih menggusarkan betapa banyaknya dosa yang ku tanggung kerana riak dan ujub yang tumbuh dalam diriku.
Maka pesananku, nilailah sesuatu itu dengan hati yang beriman. Jangan mudah mempercayai solehahnya atau solehnya seseorang itu hanya melalui kata kata yang dibicarakan. Sedangkan ingatlah bahawa, pilihan Salahuddin Al Ayubi itu sendiri bukan yang lincah bermain senjata atau petah berkata kata, sebaliknya pejuang pejuang yang istiqomah tahajudnya. Katanya mahu jadi Srikandi Hassan Al Banna, namun ambilnya hanya pada semangat perjuangan, tetapi tidak pada amalannya.
Diriku ini tertarik dengan dialog dalam drama di televisyen yang ku tonton. Wanita itu di'cop' sebagai ahli neraka kerana dia pernah memperdagangkan tubuhnya biarpun wanita itu telah bertaubat. Jawapannya:
"Sekiranya ALLAH sudah menakdirkan saya menjadi ahli neraka, saya redha kerana saya yakin nilaian ALLAH itu adil, tetapi saya tidak redha dengan nilaian manusia yang juga hamba seperti saya. Siapalah kamu yang berhak menentukan tempatku di neraka atau disyurgaNYA. Bagaimana jika syurga dan neraka itu sebenarnya ujian ALLAH untukmu, adakah segala kebaikan yang kamu lakukan hanya untuk dirimu bukan keranaNYA?"
Sememangnya nilaian ALLAH SWT itu adil, cumanya kadangkala kita sendiri yang menilai sesuatu mengikut hawa nafsu kita. Dengan mudah kita mengatakan bahawa yang itu tidak layak untuk yang ini, yang ini tidak sepatutnya untuk yang itu. Tahukan kalian bahawa ilmu ALLAH itu adalah seluas luasnya sehingga tidak terjangkau dek akal fikiran? Maka, apakah taklifan yang bisa kita gunakan untuk memberi penilaian tersebut? Adakah dengan alasan kita sudah berjubah, bertudung atau bersolat, maka secara automatiknya kita sudah bisa menjadi insan insan yang bisa menilai nilaian manusia itu disisiNYA?
Coretan ku ini tidak ku tujukan untuk sesiapa sebaliknya khas ku titipkan buat diriku ini. Kadang kadang bagiku aku terlalu cepat menilai seseorang hanya kerana dari cara berpakaian atau pekerjaannya atau keluarganya, sedangkan ALLAH SWT itu MAHA MENGETAHUI. Serahkanlah segala urusan hanya kepadaNYA. Nescaya hati akan lebih tenteram. Betapa sukarnya untuk menggapai gelaran solehah, namun itu ada impian setiap muslimah.
Sesungguh diri ku ini bukan srikandi solehah,
jika nilaian manusia adalah melalui cara ku berpakaian
Kadangkala cara ku berpakaian ini tidak menggambarkan akhlakku.
Tahukah kalian bahawa di kala aku bersendirian, aku juga terkadang lupa untuk mengingatiNYA.
Kadangkala daku berasa tidak layak untuk berpakaian sebegini kerana takut akan didakwa oleh pakaian ku sendiri di akhirat nanti kerana tiada niatku semata mata kerana ALLAH dalam hatiku.
Cuma aku meyakini setiap yang ALLAH syariatkan pasti ada hikmahnya. Betapa ALLAH amat menyayangi kaum wanita sehingga kita seperti minyak yang ditatang sepenuhnya. Bersyukurlah menjadi wanita muslimah...
Aku bukan srikandi solehah,
jika nilaian kalian pada kata kataku melalui muka buku atau teratak kesayanganku
Tahukah kalian bahawa kadang kalanya aku juga berasa riak setiap kali kalian mengkagumi bait bait yang ku hamburkan.
Ah.. betapa gusarnya diriku apabila mengingat pesanan Kekasih yang dirindui Muhammad SAW berkaitan dengan insan yang hanya berkata kata tetapi tidak melaksanakannya apa yang dikatakan iaitu dia akan ditimpakan seksaan yang amatlah berat di hari pembalasan.
Diakui juga bahawa setiap kata kata terinspirasi dari ALLAH SWT namun ingatlah seperti yang kukatakan sebelum ini, segala galanya hanya pinjaman. Betapa takutnya diriku apabila tiba saat dan tikanya TUAN sebenar meminta kembali barang yang dipinjamkan, apa yang ada pada diriku? Kerana sesungguhnya DIA adalah pemilik diriku, tidak aku berupaya untuk mengembalikan sesuatu kepadaNYA.
Aku bukan srikandi solehah,
jika nilaian kalian pada tingginya ilmu haraki atau hebatnya dalam gerak kerja dakwah.
Tahukah kalian bahawa kiranya seseorang muslimat itu ditarbiyah bukan ditentukan selama mana atau seaktif mana dirinya dalam gerak kerja ISLAM, tetapi sejauh mana dia bisa membuang karat karat jahiliyah dalam dirinya.
Tahukah kalian bahawa diriku ini masih punya lompang lompang jahiliyah yang perlu diubati dengan tarbiyah.
Malahan terkadang diriku berasa terpaksa untuk bergerak kerja demi ISLAM. Semoga ALLAH mengampuni dosa dosa ku yang hina ini.
Cumanya teringat pesanan sang naqibah, tatkala ALLAH telah memberi kefahaman perjuangan pada dirimu, janganlah dirimu memberikan alasan kepadaNYA lagi sebaliknya berusahalah untuk memenuhi tuntutan yang ditujukan padamu. Pilihan ALLAH adalah pilihan yang terbaik dan ingatlah bahawa bukan calang calang orang yang bisa berasa dekat denganNYA. Pasti akan proses tapisan dan saringannya. Maka, jalan yang paling indah adalah sabar. Perkataannya nampak mudah tetapi hikmahnya indah.
Aku bukan srikandi solehah,
jika nilaian kalian pada kelembutan atau keindahan sebagai seorang wanita
Tahukah kalian bahawa sememangnya ALLAH menciptakan wanita itu seindah indahnya. Apatahlagi wanita adalah makhluk kesayanganNYA. Cumanya, kelembutan dan keindahan wanita itu bisa menjadi fitnah. Sesungguhnya diriku ini insan yang sentiasa turun naik imannya dan tidak cekap menjaga hati. Yang kudambakan agar ALLAH SWT sentiasa membimbing diriku dan tidak memalingkan hatiku. Sememangnya seorang wanita secara fitrahnya itu mendamba untuk menjadi yang cantik dan indah. Sebaiknya biarlah indah itu kerana agamanya dan cantik itu kerana taqwanya. Dan yang paling penting, cantik di manusia itu tiada ertinya jika tidak cantik di sisi ALLAH SWT.
ya ALLAH... betapa sukarnya menggapai gelaran solehah. Namun segala penilaian menjadi srikandi solehah ini ku serahkan kepadaMU. Cuma ini adalah sedikit luahan rasa dariku yang sudah lama menyempitkan ruang mindaku. Yang kutakuti manusia menganggap diri ini sempurna sedangkan tiada sesuatu yang sempurna melainkan dengan izinMU. Sekiranya terdapat sedikit kebaikan dari coretanku, titipkanlah buat kedua ibu bapaku, naqibah dan cermin sakti kesayanganku serta buat seluruh insan yang tidak pernah mengenal erti lelah mengajar diriku erti sebenar perjuangan. Jika terdapat kekurangan dalam tulisan ku ini, moga KAU sentiasa memberi ku peluang untuk memperbaiki diriku kerana aku percaya syurgaMU itu luas dan tarbiyah dariMU itu sentiasa ada. Terpulanglah pada diriku untuk menggapai atau melepaskannya.
Akhir kalam, ingin ku titipkan doa buat semua srikandi pencinta agama.
"Ya Allah, izinkan sahabatku menjadi sekuntum bunga, yang dihiasi dengan kelopak akhlaq mulia, harum wanginya dengan ilmu agama, cantiknya kerana iman dan taqwa. Namun keindahan zahirnya disimpan rapi, biar menjadi rahsia yang kekal abadi, bukan perhatian mata ajnabi, yang menjadi punca fitnah hati dari lelaki yang berjiwa sepi. Wajahnya bukan mengundang dosa, timbulkan duri yang memagari dirinya agar terpelihara dari noda duniawi yang menghilangkan haruman sejati, yang memudarkan kecantikan diri untuk Kau calnkan dirinya sebagai bidadari syurga Mu. Amiin..."
Wassalam..


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...