Zikrullah

Thursday, November 25, 2010

Rasulullah Tersenyum Melihat Aisyah Cemburu




Cemburu. Satu perkataan yang sememangnya terjadi pada diri setiap insan yang normal. Orang tua kata cemburu itu tandanya sayang. Betul juga kata-kata ini cuma janganlah kita cemburu tidak bertempat dan melampau-lampau. Perasaan cemburu ini pun berlaku dalam kehidupan Rasulullah. Isteri baginda pun cemburu juga antara satu sama lain. Di antara isteri Rasulullah yang paling suka cemburu adalah Aisyah. Perkara ini wajar mengingatkan Aisyah memiliki tahap kecemburuan yang tinggi kerana beliau memperolehi tempat yang istimewa di sisi baginda setelah Khadijah binti Khuwailid yang menjadi isteri pertama baginda.

Di samping itu, Aisyah adalah satu-satunya isteri Rasulullah yang dinikahi dalam keadaan masih kecil. Beliau juga termasuk isteri yang cerdas dan banyak membantu baginda apabila menghadapi masalah yang sukar, sehingga wajar apabila kelebihan-kelebihan ini menjadikan Aisyah istimewa di sisi baginda maka beliau sangat pencemburu.

Kerana sifat Aisyah yang terbuka dan cenderung keanak-anakkan dan kurang boleh menguasai perasaannya, itulah yang membuat Rasulullah suka bercanda dengan isterinya yang mungil itu. Emosi Aisyah akan nampak apabila beliau sedang cemburu. Kecemburuan seorang wanita terhadap suaminya adalah menunjukkan kadar cintanya terhadap suaminya sangatlah tinggi.

Beberapa saat menjelang wafat Rasulullah, baginda berziarah ke perkuburan Al-Baqi' untuk memanjatkan ampunan bagi semua penghuni kubur itu. Esoknya, Aisyah mengeluh kepada baginda kerana kepalanya terasa pening. Demikian juga Rasulullah merasakan sakit kepala. Maka baginda berkata kepada Aisyah: "Wah...kepalaku juga pening Aisyah." Namun berulang-ulang Aisyah masih mengeluhkan pening kepala, sehingga dengan bercanda Rasulullah berkata kepada Aisyah: "Apa salahnya wahai Aisyah apabila engkau mati sebelum aku?" Aku sendiri yang akan menguruskan jenazahmu, mengkafankanmu, mensolatimu dan mengkuburkanmu."

Mendengar perkataan demikian daripada Rasulullah, muncullah rasa cemburu Aisyah, beliau terus berkata kepada baginda: "Biarlah itu terjadi pada yang lain sahaja. Demi Allah, seandainya itu terjadi dan anda melakukan semua yang disebutkan, anda akan kupertemukan dengan beberapa isteri anda di rumahku."

Mendengar perkataan isterinya, Rasulullah hanya tersenyum lembut. Baginda sangat memahami apa yang tersirat di fikiran Aisyah setelah mendengar gurauan baginda. Beberapa saat kemudian rasa pening Rasulullah hilang, sehingga baginda dapat berkeliling menggilir isteri-isterinya. Namun kemudian sakit baginda datang lagi apabila tiba di kediaman Maimunah, salah seorang isteri baginda. Dan itulah rupanya sakit terakhir baginda dan gurauan baginda yang terakhir dengan Aisyah, kerana tidak lama setelah itu, baginda wafat di kediaman Aisyah r.a.

Begitulah sikap Rasulullah terhadap sesiapa sahaja di sekeliling baginda. Apa yang berlaku pada baginda, masih tetap menerimanya dengan melontarkan senyuman lembut tanpa ada perasaan terguris hati atau marah. Banyak lagi kisah-kisah seperti ini dalam buku: Senyuman Rasulullah Menambat Hati Para Sahabat. Semoga kita dapat mengikut sunnah Rasulullah ini. Senyum-senyumlah wahai sahabat-sahabatku. 'Senyum itu Sedekah'.
 

1 comment:

  1. Salam. Boleh tau kat mana ada jual buku "Senyuman Rasulullah menambat hati para sahabat" ? Dah lama cari..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...